2019-03-14

Kerjasama Lembaga Zakat Selangor dengan Skills Johor dalam program kebolehpasaran dan pembangunan belia asnaf Selangor. 

10 Mac 2019 – BANGI:  Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Skills Johor sekali lagi telah menganjurkan Program Latih & Kerja Belia Selangor (PLKBS) Siri Ke-2 di German-Malaysian Institute (GMI) hari ini.

PLKBS merupakan inisiatif bersepadu LZS untuk terus memperkasa ekonomi belia asnaf Selangor menerusi program latihan intensif dengan objektif menyediakan platform peluang pekerjaan dalam rangkaian industri perkhidmatan, peruncitan dan hospitaliti. Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan LZS, En. Mohd. Denyzman bin Kamaruddin berkata bahawa usaha memperkasa belia asnaf melalui program latihan dan penempatan kerjaya seumpama ini adalah julung-julung kalinya dianjurkan oleh LZS dengan kerjasama daripada Skills Johor.

“Kami mahu belia asnaf Selangor yang menepati syarat yang telah kami tetapkan untuk menyertai program ini bagi menambah mata pencarian keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.  Jadi mereka tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan yang disalurkan semata-mata.  Kami amat yakin mereka akan berjaya mencapai kejayaan dalam pekerjaan masing-masing,” kata beliau semasa berucap di Majlis Penutup PLKBS Siri Ke-2 di sini. “LZS akan terus komited dalam pembangunan belia di negeri ini, bahkan pendedahan kepada industri secara berterusan mampu untuk menjadikan belia asnaf Selangor terus menjadi pilihan para majikan,” tambah Mohd. Denyzman lagi.Pada kali ini, program tersebut telah disertai oleh 22 orang belia dalam kalangan penerima bantuan zakat daripada LZS yang berumur antara 18 hingga 25 tahun.  Sepanjang program tersebut berlangsung, mereka telah dididik dan dilatih berdasarkan modul kemahiran teknikal dan insaniah yang terkini dan berkesan daripada Skills Johor.

Majlis Penutup PLKBS Siri Ke-2 itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor, Haji Zakbah Harun. Dalam ucapannya beliau berkata, “Skills Johor akan terus menyediakan platform kepada belia di negeri ini untuk memulakan kerjaya mereka dalam industri.  Maklumbalas industri yang amat memberangsangkan tentang program ini serta potensi peserta dalam merebut peluang penempatan kerjaya adalah terbuka luas.”

“Selain itu, PLKBS juga merupakan salah satu wadah bagi mengukuhkan hubungan rangkaian antara agensi kerajaan dan industri swasta menerusi jalinan erat antara LZS, Skills Johor dan para majikan dalam misi membangunkan sosioekonomi ummah,” tambah beliau.