2018-04-11

Soalan Temuduga: "Kenapa anda nak jawatan ini?" 

Macamana nak jawab???

Ada banyak jenis soalan temuduga, dan susah juga bagi kita untuk menduga apakah soalan yang akan kita dapat setiap kali temuduga, betul tak? Biasanya soalan-soalan yang ditanyakan adalah cara paling mudah untuk bakal majikan mengenal calon-calon yang menghadiri temuduga dalam masa singkat.  Tapi sebenarnya tak semua soalan adalah mengenai anda pun, ada juga soalan yang sebenarnya mereka tanya mengenai mereka sendiri, contohnya soalan ini: “Kenapa anda mahu jawatan ini?”

Di sebalik soalan penemuduga…

Soalan mereka: “Kenapa anda mahu jawatan ini?”

Soalan sebenar mereka: “Apa yang menarik minat anda tentang jawatan ini dan apakah kelebihan yang boleh anda berikan kepada syarikat kami?”

Pada dasarnya soalan ini nampak mudah. Tapi sebenarnya bakal majikan anda ingin tahu sama ada anda benar-benar berminat dengan syarikat tersebut atau tidak dan kenapa anda rasa syarikat tersebut sesuai dengan anda?

Jadi apa yang perlu anda lakukan?

Langkah 1: Buat kajian tentang syarikat tersebut

Tunjukkan kepada bakal majikan yang anda benar-benar berminat dengan syarikat mereka. Cari maklumat tentang perkhidmatan dan perkembangan terkini syarikat tersebut melalui website dan juga berita tentang projek terkini mereka dan sebagainya. Bakal majikan anda akan tertarik bila mereka mendapati bahawa anda benar-benar faham tentang apa yang mereka lakukan.

Langkah 2: Tunjukkan semangat anda

Kemudian, anda perlulah tunjukkan minat anda terhadap jawatan tersebut. Terangkan apa yang buat anda bersemangat dengan tawaran kerjaya yang anda mohon. Beritahu bakal majikan anda bagaimana anda mungkin dapat membantu memudahkan kerja mereka atau menyumbang kepada perkembangan syarikat mereka. Majikan akan menunjukkan minat sekiranya mereka nampak semangat yang anda tunjukkan terhadap kedua-dua syarikat dan jawatan yang dipohon.

Contoh jawapan:

Pada awalnya saya tertarik dengan jenama syarikat ini. Tapi selepas saya lakukan sedikit kajian latar belakang syarikat sebelum hadir pada hari ini, saya ada beberapa cadangan strategi pemasaran yang boleh diadaptasi ke dalam syarikat tuan. Sebahagian daripada apa yang saya belajar juga berkait rapat dengan pengaplikasian strategi tersebut. Oleh yang demikian, saya rasa teruja untuk menggunakan kemahiran saya bagi membantu syarikat tuan untuk terus berkembang dan berjaya.

Macam mana? Dah dapat idea kan? Baiklah, tips ringkas ini dibawakan khas kepada anda oleh Skills Johor! Semoga berjaya dalam temuduga anda dan jangan lupa, sentiasa berpakaian kemas dan bawa resume yang menarik okay!

Share this article