2018-05-03

Anda baru mula bekerja di syarikat baru. Pastinya bermacam-macam perasaan yang anda dapat. Anda rasa seronok, excited, nervous dan tak mustahil juga untuk rasa agak tertekan ketika ini.

Minggu pertama bekerja boleh jadi 5 hari yang paling susah untuk anda menyesuaikan diri. Jika anda masih lagi bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kerja baru anda dalam tempoh 3 bulan percubaan, ia mengganggu motivasi dan keyakinan anda untuk terus bekerja di syarikat itu.

Jadi macam mana caranya untuk menguasai kerja baru dan dalam masa yang sama menyesuaikan diri dengan rakan sekerja?

#1:  Jangan bandingkan kerja baru dengan yang lama

Anda mungkin pekerja cemerlang sewaktu di syarikat lama, tapi jangan terlalu ego. Tiada siapa yang menyukai mereka yang memiliki sifat ‘berlagak’.  Jadilah seorang yang terbuka untuk menerima ilmu dan pendapat baru.  Cari masa dan suasana yang sesuai untuk kongsikan pengalaman dan teknik unik yang anda telah pelajari dengan rakan kerja baru.

#2:  Faham bidang kerja anda

Anda perlu faham setiap bidang kerja yang ditugaskan kepada anda serta mampu menyusun kerja-kerja tersebut mengikut tahap prioriti masing-masing. Dapatkan penerangan daripada rakan sekerja atau ketua jabatan anda untuk mengelakkan sebarang kekeliruan. Dengan mengambil tahu cara-cara penilaian prestasi anda dijalankan,  anda akan lebih faham aliran proses kenaikan pangkat dan sebagainya.

#3:  Jangan malu bertanya

Sebagai pekerja baru, normal jika anda mempunyai banyak soalan; bermula dari prosedur kerja, sehinggalah mengingati nama serta jawatan rakan-rakan kerja baru anda. Persoalan-persoalan yang anda ada, tak kira kecil atau besar, pasti ada jawapannya. Cara mudah untuk menjawab persoalan-persoalan itu ialah dengan bertanya. Jangan bimbang, rakan kerja anda pasti faham dan sudah sedia maklum yang anda pasti ada banyak soalan untuk ditanyakan dan mereka tidak keberatan untuk menerangkannya kepada anda.

#4:  Sentiasa ucapkan terima kasih

Anda pekerja baru, jadi anda mungkin ada melakukan kesilapan.  Ketua jabatan dan rakan-rakan anda pasti menegur untuk memperbetulkan kesilapan itu. Apa yang perlu anda lakukan? Ucapkan terima kasih! Meskipun mereka tidak memberikan sebarang teguran sekalipun, anda masih boleh tanya mereka tentang hasil kerja anda dan cuba memperbaiki diri!

#5:  Hormati budaya di tempat baru

Tepati masa kerja anda. Lebih baik untuk anda tiba di pejabat 5 atau 10 minit lebih awal daripada waktu sepatutnya supaya anda boleh lebih relaks. (p/s: Tiada sesiapa yang suka pekerja baru yang lambat datang kerja). Dari segi pakaian pula, tentu sahaja anda perlu elakkan daripada berpakaian terlalu over mahupun terlalu kasual. 

Untuk mempercepat proses ice breaking sesama rakan sekerja anda, terima pelawaan mereka untuk makan tengah hari bersama-sama atau ajak mereka untuk makan tengah hari.  Percayalah, semakin cepat anda menyesuaikan diri dengan rakan kerja baru, lebih mudah untuk anda menyesuaikan diri dengan suasana pejabat dan kerja baru anda.

 

Anda masih lagi mencari kerja?

Jika anda masih lagi tercari-cari peluang pekerjaan dalam bidang TVET, anda boleh menghubungi Skills Johor untuk mendapatkan maklumat tentang program terkini dan peluang penempatan kerjaya yang boleh anda sertai.

Klik di sini http://skillsjohor.edu.my/en/latihan-dan-penempatan-kerjaya

Share this article