2018-05-04

KOTA TINGGI - Pada 19 April 2018, Skills Johor telah mengadakan lawatan ke Akademi Minyak dan Gas KPYPJ (AMGKPYPJ) bagi menyempurnakan pelantikan AMGKPYPJ sebagai salah satu pengendali latihan industri khusus di dalam bidang minyak dan gas. AMGKPYPJ merupakan salah sebuah akademi minyak dan gas yang utama di negeri Johor dan bakal mengendalikan program latihan kemahiran intensif kepada pencari kerja yang berjaya menerima tawaran penempatan kerjaya. 

Kunjungan wakil Skills Johor, En Syed Yazrine Shahab bersama En Afnan dan Cik Nina telah disambut mesra oleh Ketua Eksekutif AMGKPYPJ iaitu En Asmadi Hj Alias. Perjanjian yang telah dimeterai melibatkan program yang bakal dikendalikan oleh AMGKPYPJ iaitu Pemasangan Perancah (Scaffolding) Tahap 1 & 2, Confined Space dan Pipe Insulation. 

Program latihan Pemasangan Perancah ini bukan sahaja melatih peserta dengan kerja-kerja pemasangan struktur perancah, tetapi juga membina struktur tangga, laluan pejalan kaki dan susur tangan untuk pekerja di RAPID, Pengerang.  Program kedua pula melatih peserta supaya mengutamakan prosedur  peralatan dan keselamatan yang betul semasa bertugas serta mempersiapkan diri untuk menghadapi situasi kecemasan.  Program Pipe Insulation pula bakal melahirkan tenaga kerja yang mahir menggunakan peralatan dan sistem penebat saluran paip dan mengikut prosedur yang tepat mengikut perubahan suhu kawasan pemasangan.  Pelatih akan mengikuti latihan pemeriksaan, penyelenggaraan dan melakukan modifikasi ke atas sistem paip pada bila-bila masa ia diperlukan.

Sehubungan itu, kolaborasi yang positif dan berpanjangan diharapkan daripada kedua belah pihak bagi memangkin keberhasilan modal insan dalam bidang TVET, khususnya dalam industri minyak dan gas.