2018-07-25

SKILLS JOHOR PERKASA TVET – ATEF 2018

PUTRAJAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Forum  Pakar TVET Asia (ATEF) 2018 di sini pada 23 dan 24 Julai lalu.  Forum yang telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik dan juga Ketua Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, YB Nurul Izzah Anwar itu turut disertai oleh Skills Johor dan diwakili oleh Pengarah Eksekutif Skills Johor sendiri, Datuk Omar Shariff Mydeen.

Dr Maszlee berkata dalam ucapannya di ATEF 2018, “Kementerian Pendidikan akan berusaha ke arah menjadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang.”

“Skills Johor sebagai pemangkin industri dan pakar TVET negara sentiasa bersedia untuk membantu dan sama-sama mendukung perancangan Kementerian melalui inisiatif dan program yang bakal dijalankan,” tegas Datuk Omar Shariff semasa sesi forum perbincangan bersama Nurul Izzah di sini pada Isnin lalu.

TVET memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat terhadap pembangunan yang seimbang, mengurangkan kemiskinan serta ke arah kemakmuran ekonomi.

Nurul Izzah berkata, "Kemahiran TVET tidak akan dilihat sebagai pengkhususan kelas dua pada masa hadapan."

Pada masa ini, Malaysia mempunyai kira-kira 28 peratus pekerja mahir dan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan tersebut kepada 35 peratus menjelang 2020. Bertemakan 'Pelaksanaan Menyeluruh TVET Untuk Revolusi Industri 4.0', ATEF 2018 menjadi platform untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan TVET dalam pendidikan tinggi.