2018-07-10

JOHOR BAHRU -  Skills Johor sentiasa aktif dalam meningkatkan kualiti perkhidmatannya menerusi program-program yang dijalankan dari semasa ke semasa.  Baru-baru ini, Skills Johor telah mengadakan sebuah majlis Prebiu Revolusi 4.0 (IR 4.0) di Hotel Thistle Johor Bahru.  Majlis yang telah dirasmikan oleh YB Dr. S. Ramakrishnan, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Johor itu turut dihadiri oleh 40 rakan-rakan industri dari sekitar Johor Bahru. 

Prebiu IR 4.0 yang telah berlangsung pada 10 Julai yang lalu telah menarik hampir 70 peserta dari  kalangan syarikat-syarikat peneraju industri yang utama di Johor seperti Johor Port Berhad, Flextronics, LEGOLAND Malaysia, United Kotak, BP Healthcare dan Kaefer.

Menurut YB Dr. S. Ramakrishnan, "Era teknologi automasi yang sedang berkembang pesat ini telah mengubah cara dan sistem operasi konvensional di seluruh dunia.  Kini, kita sudah berada dalam dunia teknologi Artificial Intelligence (AI) dan kereta pandu sendiri.  IR 4.0 telah mengubah cara kita untuk hidup, bekerja, bermain dan berkomunikasi.  Oleh itu, amat penting bagi kita rakyat Malaysia untuk menyediakan tenaga kerja tempatan yang mahir supaya dapat berdaya saing di peringkat global."

Beliau turut berkata, "Pengusaha-pengusaha syarikat perlu melabur dalam program-program latihan dan kursus-kursus profesional IR 4.0 seperti Internet of Things (IoT) yang telah dijalankan oleh Skills Johor dengan kerjasama KnowledgeCom baru-baru ini."