Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia

Pendidikan dan latihan kemahiran menjadi pemacu kritikal dalam misi transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berikutan kesannya ke atas produktiviti dan pembangunan modal insan. Ia juga merupakan jentera pertumbuhan tersendiri bagi menggerakkan ekonomi negara. Di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA), salah satu inisiatif yang telah dikenal pasti bagi sektor Pendidikan ialah “Meningkatkan Latihan Kemahiran Swasta”.

Jabatan Pembangunan Kemahiran menyokong penuh inisiatif projek Skills Johor dalam membangunkan sebuah hab latihan berteraskan industri bernilai RM155 juta di Negeri Johor.  Kami difahamkan hab ini menawarkan program TVET yang diiktiraf menerusi kolaborasi bersama institusi latihan bertauliah dari dalam dan luar negara.

Usahasama di antara pihak swasta dalam bidang latihan dan pembangunan seperti Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), pihak industri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor  sangat digalakkan. Ini bakal menyediakan satu dimensi baharu dalam pembelajaran kemahiran bagi lepasan sekolah dan tenaga kerja yang kurang cenderung kepada program yang  bersifat akademik.

Dengan penyertaan Skills Johor di bawah Projek Permulaan (EPP) kami, tanggungjawab bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif yang selari dengan matlamat Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara kini turut diamanahkan demi kepentingan rakyat dan negara.