2019-02-12

Dah penat-penat kerja, gaji tak pernah cukup tapi masih kena bayar cukai pendapatan?  Jangan bimbang, kalau korang buat e-filing korang betul-betul, silap-silap nanti jangan kata kena keluar duit, tapi korang yang dapat ‘bonus’ daripada LHDN! ‘Bonus’ ini sebenarnya adalah jumlah pelepasan cukai yang anda bakal terima jika nilai pelepasan melebihi nilai cukai yang perlu anda bayar.

Daftar e-filing di LHDN

Jika pendapatan anda melebihi RM34,000 setahun, anda perlu mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di mana-mana cawangan seluruh negara. So, macam mana nak daftar?  Mudah saja, anda cuma perlu sediakan beberapa dokumen untuk tujuan pendaftaran.

Dokumen yang diperlukan untuk mendaftar dengan LHDN:

- 1 keping salinan Borang Penyata Pendapatan (Borang EA/EC) terkini/Slip gaji terkini

- 1 keping salinan kad pengenalan/kad pengenalan polis/kad pengenalan tentera/passport antarabangsa

- 1 keping salinan sijil perkahwinan (jika ada)

 

Senarai Pelepasan Cukai 2018 Untuk Tujuan e-Filing 2019

1. Individu dan saudara tanggungan

Jumlah: RM 9,000

Ini bermaksud kalau korang ada tanggungan lain, contohnya anda ada seorang atuk atau nenek yang masih hidup yang bergantung kepada anda, maka saudara-saudara seperti ini dikira sebagai tanggungan anda.

 

2. ​Penjagaan ibu bapa

- Perbelanjaan untuk rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga ibu bapa.  Keadaan kesihatan ibu bapa perlulah disahkan oleh pengamal perubatan

Jumlah maksimum: RM 5,000

ATAU;

- Ibu dan Bapa

Terhad RM1,500 bagi seorang ibu

Terhad RM1,500 bagi seorang bapa 

Jumlah Maksimum: RM 3,000

Yang ini Admin pasti, tuan-tuan dan puan-puan kan anak-anak yang soleh dan solehah.  Pastinya tak pernah tinggal hulur wang belanja pada mak ayah tiap-tiap bulan kan?  Itu pun boleh dapat pelepasan cukai, best kan!

 

3. Peralatan Sokongan Asas (untuk individu kurang upaya, suami/isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya)

Jumlah maksimum: RM 6,000

Sekiranya anda kurang upaya atau ada ahli keluarga terdekat yang kurang upaya, anda boleh mendapat pelepasan cukai untuk pembelian barangan peralatan sokongan contohnya kerusi roda, alat bantu pendengaran dan lain-lain.

 

4. Individu Kurang Upaya

Jumlah maksimum:RM 6,000

5. Yuran Pendidikan (sendiri)

- Peringkat selain sarjana dan doktor falsafah – bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi

- Peringkat sarjana dan doktor falsafah – sebarang bidang atau kursus pengajian

Jumlah maksimum: RM 7,000

Ramai yang nak sambung buat master lepas degree. Ramai jugak nak buat PhD lepas habis master.Tapi… kenyataannya ramai yang terlepas peluang untuk sambung belajar sebab kena bagi komitmen pada kerja. Pelepasan cukai ini boleh bantu untuk meringankan beban yuran semester korang untuk sambung belajar. 

 

6. Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati (individu atau suami/isteri atau anak-anak)

Jumlah maksimum: RM 6,000 (termasuk pemeriksaan perubatan penuh)

 

7. Pemeriksaan perubatan penuh (Diri sendiri, suami/isteri atau anak)

Jumlah maksimum: RM 500

Ni lagi satu, nak bagi sihat pun susah! Eleh…admin tahu ramai antara korang yang tak buat pun medical check-up sebab bagi korang benda ni tak penting kan? Yakin ke korang betul-betul sihat? Tak rugi pun, korang gunakanlah peluang ni untuk buat medical check-up ye!

 

8. Gaya Hidup:

- Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan penerbitan (selain bahan bacaan terlarang) untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak

- Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak

- Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlinan gimnasium untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak

- Bayaran langganan internet

Jumlah maksimum: RM 2,500

Yang ni memang paling best. Bayangkan korang boleh dapatkan pelepasan cukai sebanyak RM2,500 untuk langganan internet dan jugak pembelian handphone yang digunakan untuk menghabiskan data internet yang korang langgan tu…hiks! Bukan itu saja, malah banyak lagi kategori gaya hidup yang lain yang korang boleh dapatkan pelepasan cukai termasuklah bayar yuran gimnasium atau beli buku dan majalah! Cuma kena ingat, resit tu mesti simpan!

9. Pembelian peralatan penyusuan ibu untuk kegunaan sendiri bagi anak berumur 2 tahun dan ke bawah (potongan dibenarkan sekali dalam setiap DUA (2) tahun taksiran)

Jumlah maksimum: RM 1,000

Khas buat ibu bapa di Malaysia ni, mesti bersyukur gila dengan adanya pelepasan cukai untuk alatan menyusu. Almaklumlah, peralatan menyusu memang mahal. Lebih-lebih lagi kepada pasangan yang kali pertama bakal menimang cahaya mata, banyak duit nak pakai untuk beli barang-barang bayi.Sekurang-kurangnya, ringan sikit bebanan tu kan?

 

10. Yuran penghantaran anak berumur 6 tahun dan ke bawah ke taman asuhan kanak-kanak/tadika yang berdaftar

Jumlah maksimum: RM 1,000

Zaman sekarang ni, kita dapat lihat banyak preschool dan playschool yang tumbuh merata-rata macam cendawan selepas hujan. Meskipun banyak preschool dan playschool awam yang dibangunkan oleh kerajaan, namun jumlahnya masih tidak cukup untuk menampung bilangan kanak-kanak yang perlu mendaftar.Oleh itu, rata-rata ibu bapa berbelanja lebih RM400-RM700 untuk yuran preschool dan playschool bagi seorang anak setiap bulan.

 

11. Tabungan bersih dalam skim SSPN (jumlah simpanan dalam tahun 2018 TOLAK jumlah pengeluaran dalam tahun 2018)

Jumlah maksimum: RM 6,000

 

12. Suami/isteri/bayaran alimoni kepada bekas isteri

Jumlah maksimum: RM 4,000

Katakanlah korang ni jenis lelaki yang sentiasa ‘market’ (katakan aje tau)…Korang pernah berkahwin, bercerai, dan kemudian kahwin baru.Disebabkan ex-wife kau masih hidup, maka kau tetap kena bayar nafkah atau alimoni kat ex-wife kau tu.Yang ni pun dapat pelepasan cukai tau!Takde alasan untuk tak bertanggungjawab, okay?

 

13. Suami/isteri kurang upaya

Jumlah: RM 3,500

 

14. Anak di bawah umur 18 tahun

Jumlah: RM 2,000

 

15. Anak berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan belajar sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah)

Jumlah: RM 2,000

 

16. Anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

- Mengikuti kursus di peringkat diploma dan ke atas di institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (tidak termasuk kursus matrikulasi/pra-ijazah)

- Mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi di luar Malaysia

- Kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan

Jumlah: RM 8,000

 

17.  Anak Kurang Upaya

Jumlah: RM 6,000

 

18. Pelepasan tambahan sebanyak RM8,000

Bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan

 

19. Insurans nyawa dan KWSP TERMASUK tidak melalui potongan gaji

Jumlah maksimum: RM6,000

20. Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda (Deferred Annuity) – berkuatkuasa mulai Tahun Taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2021

Jumlah maksimum: RM 3,000

 

21. Insurans pendidikan dan perubatan TERMASUK tidak melalui potongan gaji

Jumlah maksimum:  RM 3,000

 

22. Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Jumlah maksimum: RM 250

 

Info tips: Pelepasan cukai

Ramai yang menganggap e-filing ni leceh dan menyusahkan.  “Dah lah banyak benda nak kena buat, lepas tu kena keluar duit lagi untuk bayar cukai pendapatan!”

Kalau ini adalah apa yang anda fikirkan selama ini, maka ternyata anda sudah SILAP!  Ramai yang telah menjalankan e-filing mereka dengan baik dan berjaya mengemukakan resit bukti pembelian dan pembayaran seperti yang dinyatakan, akhirnya mereka bukan kena bayar, malah mereka dapat pulangan wang dikembalikan!  Best ke tak best?

Jadi, jangan abaikan e-filing anda!  Luangkan masa dan jika anda layak, anda mungkin akan dapat ganjarannya!

Kongsi artikel ini