2018-12-10

Imej seseorang adalah penting kerana melalui imej anda, orang lain boleh membaca karektor anda. Cara anda berpakaian, bercakap dan memberi respon kepada orang lain melambangkan imej anda.  Jadi profesional bukan saja boleh dilihat pada hasil kerja, tetapi juga personaliti anda. 

Dalam dunia kerjaya pula, anda boleh meraih lebih banyak peluang perniagaan dengan membawa imej yang tepat.  Pelanggan tidak akan menilai produk atau perkhidmatan anda semata-mata, mereka juga akan menilai diri anda sebagai penjual itu sendiri.  Memiliki imej yang profesional juga boleh memberi tanggapan bahawa anda seorang yang peniaga yang boleh dipercayai.

Harfiahnya, memiliki imej profesional yang baik boleh membuka pintu kepada lebih banyak peluang perniagaan kepada anda. Namun, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada pembangunan imej yang profesional. Apakah ia?

Boleh ke pakai t-shirt je?

Memang ramai usahawan solo yang tidak mementingkan keperluan untuk memiliki pejabat kerana kebanyakan kerja boleh dibuat dari rumah sahaja.  Oleh kerana anda tidak memerlukan pekerja, maka menyewa pejabat adalah suatu pembaziran bagi anda.  Sememangnya ini betul. 

Meskipun begitu, tiada alasan untuk anda tidak menitikberatkan imej anda setiap kali menghadiri mesyuarat atau pembentangan kerja bersama pelanggan. Perkara pertama yang orang akan lihat adalah pakaian.  Pakailah pakaian yang formal, sesuai dengan imej ‘profesional’ yang anda mahukan. 

Elakkan ‘pitch’ projek di kedai mamak

Oleh kerana anda tidak memiliki pejabat, biasanya anda lebih banyak meluangkan masa untuk duduk berbincang dan buat kerja di mamak.  Jika hanya perbincangan bersama rakan sepasukan, ia tidak mengapa.

Namun, bagaimana pula kalau anda nak ‘pitch’ projek kepada pelanggan? Adakah kedai mamak yang bising, panas dan kotor masih lagi sesuai? Sudah tentu tidak bukan?  Bukan saja sukar untuk berbincang, bahkan ia memberi tanggapan bahawa perniagaan anda tidak mantap lagi.  Profesional itu jauh sekali.

Nombor telefon dan alamat e-mel

Oleh kerana anda tidak ada pejabat yang sebenar, maka anda tidak pernah terfikir untuk memiliki nombor telefon pejabat apatah lagi membina website.  Sering juga kita jumpa golongan muda yang masih lagi menggunakan alamat e-mel yang aneh dan kebudak-budakan seperti “[email protected]” atau “[email protected]” dan sebagainya.  Adakah email anda juga seperti ini?

Meskipun anda tidak mahu berbelanja lebih untuk website, anda masih boleh membeli domain syarikat anda untuk mendapatkan alamat e-mel yang profesional.  Sebagai contoh, anda boleh beli domain “buildermalaysia.com” untuk dapatkan e-mel “[email protected]” atau “[email protected]” dan seumpamanya.

Begitu juga dengan telefon.  Tidak banyak pun kos yang diperlukan untuk memasang telefon ‘land line’.  Sekurang-kurangnya, medium komunikasi anda dengan pelanggan bukanlah WhatsApp semata-mata.

Bagaimana pula dengan pembawaan imej profesional melalui personaliti?

Terdapat banyak variasi yang perlu diambil kira dalam pembangunan imej profesional melalui personaliti.  Imej profesional anda bergantung kepada cara anda berinteraksi dengan orang dan juga pada hasil kerja anda. Kata kunci untuk personaliti yang profesional adalah ‘keyakinan’.  Tampil yakin bukan sesuatu yang mudah.  Tampil yakin dan positif dalam masa yang sama tanpa nampak sombong pada pandangan orang adalah lebih mencabar. Semak semula imej yang anda pamerkan hari ini.  Tingkatkan imej profesional anda supaya perniagaan anda boleh pergi lebih jauh.

Kongsi artikel ini