2018-05-07

Debaran PRU14 kian terasa…

Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini kian terasa bahangnya!  Tarikh PRU14 telah pun ditetapkan iaitu jatuh pada 9 Mei 2018 (Hari Rabu).  Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan kemeriahan perang bendera parti-parti yang bertanding dipacak dan digantung di sepanjang jalan.  Begitulah meriahnya suasana setiap kali kempen pilihan raya berlangsung.

Sumber foto:www.mysuara.net 

Apa yang menyedihkan, dewasa ini, masih ada lagi sebilangan rakyat terutamanya golongan belia yang kurang peka tentang kepentingan mengundi.  Kepimpinan negara pada masa hadapan terletak di tangan kita.  Sekiranya kita tidak mahu memilih pemimpin di negara sendiri, bagaimana kita nak hidup di dalamnya?  Jadi, tunaikanlah kewajipan anda sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi.

Sumberfoto: peraktoday.com.my

 

Berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017, seramai 14,940,624 pemilih layak mengundi.  Pengundi muda menjadi kumpulan majoriti iaitu seramai lebih 7 juta orang dengan anggaran 5 juta pengundi kali pertama.  Anda salah seorang daripada pengundi kali pertama? Tahniah kerana anda bakal melaksanakan tanggungjawab penting untuk negara! Pasti anda ada banyak soalan mengenai bagaimana PRU dijalankan. Kali ini, Skills Johor akan berkongsi langkah-langkah penting yang harus diambil tahu oleh semua pengundi kali pertama!

Sumber foto: Kosmo! Online

 

Pertama kali mengundi? Ini apa yang anda perlu tahu!

#1: Buat semakan daftar pemilih sebelum hari mengundi

Semak di sini: https://pengundi.spr.gov.my/

Maklumat mengenai lokasi pusat mengundi dan calon-calon yang bertanding di kawasan anda akan dipaparkan. Contoh paparan seperti di bawah:

Masa mengundi adalah dari pukul 8:00 pagi sehingga 5:00 petang, jangan lewat tau!  Anda hendaklah memakai pakaian yang sopan. Pastikan pakaian anda tidak ada logo atau sebarang jenis promosi parti pilihan anda.

#2: Apa yang perlu dibawa?

Datang awal ke Pusat Mengundi dan bawa salah satu daripada dokumen pengenalan diri anda seperti di bawah:

  • Kad pengenalan (MyKad)
  • Pasport antarabangsa
  • Resit kad pengenalan sementara bergambar
  • Resit laporan kehilangan kad pengenalan bergambar yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara
  • Lesen memandu bergambar
  • Kad kuasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan

Jadi, sekiranya kad pengenalan anda hilang, anda masih boleh mengundi. Mudah kan?

Sumber foto: MyNewsHub

 

#3:  Apa yang perlu dilakukan apabila sampai di pusat mengundi?

  1. Pergi ke Barung SPR pusat mengundi dan tunjukkan dokumen pengenalan diri kepada Kerani Penyemak Daftar Pemilih (KPDP).
  2. Dapatkan slip nombor saluran tempat mengundi.
  3. Beratur menunggu giliran untuk masuk ke bilik mengundi yang betul.
  4. Jumpa dengan Kerani Pengundi Pertama (KP1) untuk ditanda sebagai hadir dan pemeriksaan jari untuk pastikan tiada tanda dakwat kekal.
  5. Jumpa dengan KP2 untuk celup hujung jari telunjuk kiri dengan dakwat kekal.
  6. Jumpa dengan KP3 untuk mendapatkan kertas undi.
  7. Pergi ke petak mengundi untuk membuang undi. Tandakan ‘X’ di ruang bersebelahan logo parti. Lipat kertas undi dengan 2x lipatan dan masukkan kertas undi mengikut Peti Undi Parlimen atau Peti Undi Negeri.

Kemudian, selesai! Dah boleh balik dan nantikan pula pengumuman keputusan PRU14 menjelang malam 9 Mei 2018!

Sumber: giphy.com

 

#4:  Apa itu undi rosak?

  • Tak dicop atau ditanda dengan tanda rasmi atau tidak ditandatangani oleh Ketua Tempat Mengundi
  • Undi lebih daripada satu calon
  • Ada tulisan/tanda yang membolehkan pengundi tersebut dikenalpasti
  • Tidak bertanda atau tanda yang selain dari tempat dan cara sebenar
  • Tidak menunjukkan tujuan pengundi dengan jelas

Sumber foto: Facebook Media Perubatan

 

#5: Apa itu undi pos?

Undi pos dibenarkan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Siapakah yang layak mengundi secara pos?

  • Anggota polis yang terpaksa bertugas menjaga ketenteraman awam
  • Anggota tentera yang terpaksa bertugas
  • Petugas media yang terpaksa membuat liputan tentang pilihan raya di luar kawasan
  • Petugas Pilihan Raya yang menguruskan Pilihan Raya

 

Selain itu, pemilih berdaftar yang berada di luar negara juga layak mengundi secara pos. Pemilih mestilah…

  • Pengundi Tidak Hadir (PTH) penjawat awam di luar negara dan pasangan
  • Warganegara Malaysia di luar negara
  • PTH pelajar di luar negara dan pasangan

Sumber foto: Malaysia Dateline

 

#6:  Majikan tidak beri pelepasan untuk mengundi?

Menurut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Subseksyen 25(3); majikan boleh dikenakan denda RM5,000 dan penjara setahun sekiranya tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi.

Oleh itu, pastikan majikan anda beri pelepasan dan tidak ada alasan lagi untuk anda tidak pergi mengundi!

 

Dipendekkan cerita….

Apa yang penting, sebelum anda melangkah keluar dari rumah pada pagi mengundi itu, semak dulu checklist di bawah ini.

Ingatlah… YOUR VOTE COUNTS!

Selamat mengundi!  Jika anda balik mengundi di kampung, rancanglah perjalanan pulang supaya selamat dan teratur!

 

Kongsi artikel ini